KLANG: Taktik dua sindiket penyeludupan minuman keras dengan membuat pengisytiharan palsu terhadap barangan dibawa gagal apabila dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di dua lokasi di Pelabuhan Klang di sini.
Dalam serbuan itu, JKDM mematahkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai lebih RM1.6 juta termasuk cukai di Pelabuhan Barat dan Utara pada 3 Mei dan 29 Mei lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan pertama dibuat melibatkan nilai RM1.18 juta.
Pihaknya menemukan sebanyak 23,076 liter dan nilai rampasan RM115,380, dengan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah lebih RM1.07 juta.
“Pemeriksaan maklumat mendapati sindiket menyatakan membawa barangan ‘Stainless Steel Welded Pipe’. Namun, kita menemukan dalam sebuah kontena minuman keras berjenama ‘Strong Southan’ yang dipercayai belum lulus kastam.
“Bagi rampasan kedua, kita mengesan sebuah kontena membawa 22,176 liter minuman keras dengan nilai RM110,880, membabitkan jumlah cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM346,500.
“Sindiket kedua ini juga mengikrar membawa barangan dagangan ‘Castor Wheel’ tetapi hasil pemeriksaan menemukan minuman keras berjenama Tiger Beer Lager yang dipercayai belum lulus kastam,” katanya.
Tambah Zazuli, bagi rampasan pertama pihaknya sedang mengesan syarikat atau ejen penghantaran yang terlibat untuk tindakan lanjut.
“Bagi rampasan kedua pula, ejen perkapalan yang terlibat telah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan.
“Bagi kedua-dua rampasan, kes disiasat mengikut Seksyen Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya.