KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Anzalna Nasir, menegur sikap segelintir pengguna laman sosial yang mengambil kesempatan di atas nasib kurang baik orang lain.
Menurut Nur Anzalna Md Nasir, 33, sebaiknya orang ramai beramal jariah berbandung hanya memfokuskan kepada menghasilkan kandungan media sosial semata-mata.
“Bila tengok meja makan penuh dengan makanan, mesti terfikir akan mereka yang kurang bernasib baik. Dalam keadaan sekarang jangan lupa mereka yang memerlukan kita.
“Sekiranya ada rezeki lebih jangan lupa hulurkan. Jangan fikir kandungan untuk media sosial sahaja! Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita, Insya-Allah,” luahnya.
Sementara itu, dalam hantaran status berlainan di Instagram Story pelakon Bangkitnya Seorang Perempuan berkata, tiada yang berbeza mengenai rutin harian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
T
ambah Anzalna, peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 dilihat semakin membimbangkan.
“Nasib baik saya ini memang jenis yang suka duduk rumah tak suka keluar melepak, jadi tak terasa sangat. Lockdown atau tidak, sama saja kehidupan. Kedengaran bosan sangat kehidupan saya kan?
“Tapi sebenarnya saya menikmati masa bersama keluarga. Cuma sekarang ini risau tengok kes meningkat naik dan angka kematian pun banyak di Malaysia, ramai juga yang bunuh diri kerana tekanan. Semoga kita semua dijauhi dari penyakit berjangkit ini, Amin,” tulisnya.