KUALA LUMPUR : Pelawak dan pelakon, Mohamad Aizat Ahmad Nazri atau lebih dikenali sebagai Jiggy,31, mengaku tidak akan serik untuk berkahwin lagi seandainya sudah bertemu jodoh dengan wanita lain.
Menurut Jiggy, tiada halangan untuk dia berkahwin lagi walaupun sebelum ini pernah berdepan dengan kegagalan rumah tangga yang dibina bersama bekas pengacara HLive, Elly Ariffin sebelum ini.
“Siapa yang tak nak berumah tangga dan lagi pun, saya suka budak-budak. Cuma mungkin masa sahaja belum ada lagi. InsyaAllah mana tahu akan datang, tiba-tiba ada seseorang hadir dalam hidup saya.
“Nak kata serik itu tidaklah,”katanya ketika ditemui dalam sidang media secara virtual bagi mempromosikan drama 13 episod Seram Tak Seram terbitan Nafalia Corporation Sdn. Bhd semalam.
Selain itu, menurut Jiggy lagi, dia sedar sebelum ini tidak menguar-uarkan kisah perceraiannya dengan Elly dan perkara itu menjadi bahan persoalan orang ramai.
“Saya rasa kami berdua mempunyai rahsia bersama. Saya pun tak nak cakap apa-apa sebab kalau cerita itu keluar di Internet, bukan kita sahaja yang baca pasal kenyataan itu, tapi orang sekelililing pun akan baca dan mungkin tersalah anggap.
“Jadi saya tak nak macam itu.Biarlah saya diam dan orang nak cakap apa, cakaplah. Kecuali kalau sesuatu perkara itu terlalu melampau atau mengganggu keluarga, maka saya akan bersuara,”katanya.
Terdahulu, Jiggy dan Elly mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 sebelum empat tahun kemudian kedua-duanya membuat keputusan bersama untuk berpisah setelah gagal mempertahankan perkahwinan mereka.
Dalam pada itu, bercakap mengenai lakonannya dalam drama Seram Tak Seram, kata Jiggy, dia juga berdepan dengan beberapa situasi menyeramkan ketika berada di lokasi penggambaran sebelum ini.
Memandangkan dirinya ada kebolehan deria keenam, ada ketika ketika di set Jiggy terpaksa berpura-pura tidak mengambil kisah dengan kelibat-kelibat entiti yang mengganggu.
“Janganlah minta. Deria keeanam saya ini bergantung pada situasi juga sebab ada ketika entiti itu menunjukkan diri, ada ketika dia beri kita rasa kehadirannya saja. Bila jadi macam itu, saya akan rasa nak muntah, mual-mual, tak selesa dan masa itu saya akan bagi diri relaks sebentar.
“Bacalah doa juga tapi tak mahu cerita pada semua orang di set sebab nanti beri kesan pula pada kelancaran waktu penggambaran,”katanya.