MUNICH: Jerman berhasrat untuk menewaskan juara bertahan, Portugal bagi menghidupkan peluang dalam kempen Euro 2020.
Selepas tewas perlawanan pembukaan 0-1 kepada Perancis, Selasa lalu akibat gol sendiri Mats Hummels, Jerman memerlukan kemenangan dalam Kumpulan F itu dan menyekat Cristiano Ronaldo daripada mencipta rekod jaringannya.
Bintang Portugal itu kini memegang rekod 11 gol dalam lima Kejuaraan Eropah disertainya apabila menjaringkan dua gol ketika pasukannya menang 3-0 ke atas Hungary di Budapest.
Ronaldo kini menjaringkan 106 gol daripada 176 aksi untuk Portugal dan kurang tiga gol berbanding rekod jaringan terbanyak antarabangsa Ali Daei, yang menjaringkan 109 gol untuk Iran antara 1993 hingga 2006.
Penyerang Juventus itu gagal membolosi Jerman dalam empat perlawanan sebelum ini, termasuk aksi terakhir apabila Portugal tewas 0-4 di Piala Dunia 2014.
“Saya tidak melihat video jaringan terbaiknya tetapi pernah menentangnya beberapa kali ketika bersama Dortmund.
“Dia masih antara penyerang terbaik di dunia dan kini sudah menjaringkan dua gol, jadi kami perlu berwaspada,” kata pertahanan Jerman, Matthias Ginter.-AFP