PETALING JAYA: Kerajaan Jepun tidak melarang penyertaan atlet Malaysia dalam temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada bulan depan.
Kedutaan Jepun ke Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Jepun juga tidak pernah mendesak Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 agar menolak penyertaan atlet dari negara lain termasuk Malaysia.
Malah jelasnya, persiapan kini sedang giat dijalankan termasuk langkah pencegahan agar temasya berprestij itu dilaksanakan dengan baik.
“Kita mengambil langkah pencegahan bagi memastikan segalanya dijalankan dengan selamat.
“Jepun sangat berharap agar atlet dari Malaysia, negara yang telah bersahabat lama dapat mencatat keputusan terbaik dalam Olimpik Tokyo 2020 nanti,” katanya di sini hari ini.
Kerajaan Jepun sebelum ini dilaporkan memohon jawatankuasa penganjur temasya untuk mempertimbangkan supaya 10 negara termasuk Malaysia yang menunjukkan peningkatan kes Covid-19 tidak dibenarkan menyertai Olimpik Tokyo.
Antara negara lain yang turut dilaporkan menerima nasib sama adalah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.