Gandingan jentera serangan pasukan La Roja ‘buta’ gol

Jentera serangan La Roja ‘buta’ gol

PENYERANG Sepanyol, Alvaro Morata gagal menemui sentuhan penyudah walaupun berdepan beberapa peluang meledak gol ketika menentang Sweden. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEVILLE: Meskipun berwajah baharu namun Sepanyol masih dihantui ‘masalah lama’ selepas deretan peluang yang terhidang disia-siakan jentera serangan skuad La Roja itu menyaksikan mereka terikat tanpa jaringan dengan Sweden pada aksi pembukaan Kumpulan E Euro 2020 di Seville.

Penyerangnya, Alvaro Morata terus gagal menemui sentuhan penyudah biarpun memperolehi beberapa peluang pada babak pertama ketika skuad La Roja merekodkan 419 hantaran, iaitu jumlah terbanyak pernah dilakukan dalam tempoh 45 minit pada Kejuaraan Eropah.

Ketumpulan Morata menyaksikan dia diejek oleh penyokong sendiri apabila digantikan pada minit ke-75.

Skuad kendalian Luis Enrique memiliki 86 peratus penguasaan bola dalam perlawanan itu namun gagal menembusi gawang Sweden.

Keputusan Enrique mengetepikan Gerard Moreno yang meledak 23 gol buat Villareal pada musim ini turut dibangkitkan semula namun jurulatih berusia 51 tahun itu tetap mempertahankan Morata.

“Saya rasa Alvaro mempunyai permainan yang hebat. Sudah tentu semua orang mahu menfa­atkan peluang dan pemain lain juga mempunyai peluang (jaring gol).

“Saya rasa dia sudah biasa, tapi tentu saja kami ingin melihat sokongan daripada peminat. Begitulah bola sepak, alangkah baiknya mendedikasikan kemenangan kepada para peminat.

“Kami akan menganalisis permainan ini secara terperinci seperti yang biasa kami lakukan. Tetapi dalam kes ini saya rasa sangat jelas, kami semua telah melihat apa yang terjadi pada malam ini jadi tidak banyak yang perlu dilakukan.

“Kami pasukan yang lebih baik. Pihak lawan berusaha untuk bertahan tetapi kami mengawal permainan sepenuhnya dan berusaha untuk mencipta seba­nyak mungkin peluang.

“Kami memiliki peluang yang cukup untuk memenangi per­tandingan. Apa yang salah? Jawapannya kami tidak me­ngam­bil peluang untuk menja­ringkan gol,” katanya.

Kegagalan menyudahkan peluang terhidang seakan mengulangi kekecewaan yang diharungi Sepanyol pada Piala Dunia 2018 selepas mereka diikat Russia sebelum diheret ke sepakan penalti penentuan.

Sementara itu, jurulatih Sweden, Janne Anderson sebelum ini berjanji pemainnya akan ‘berlari bagai nak gila’ dan mereka tidak hanya bertahan dengan baik, namun mencipta dua peluang terbaik pada aksi itu.

“Tiada banyak peluang untuk mereka walaupun mereka menguasai permainan. Kami mungkin tewas tetapi kami pun mungkin menang,” kata Andersson. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya