PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dikecewakan dengan hatrik penalti yang diberikan pengadil perlawanan dari Australia, Shaun Evans ketika tewas 4-1 kepada Pohang Steelers dalam aksi kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Skuad Harimau Selatan bermula baik apabila membuka tirai jaringan menerusi rembatan pemain tengah JDT, Leandro Velasquez yang terkena pertahanan Steelers, Kwon Wan-kyu sebelum bola menerjah jaring sekali gus memberi gol pembukaan buat JDT pada minit ke-17.
Namun, Steelers tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti oleh Evans ekoran tindakan Leandro menyepak kaki pemain sayap, Goh Young-jun daripada belakang dalam kotak penalti.
Peluang itu mudah disudahkan, Borys Tashchy untuk menyamakan kedudukan.
Enam minit kemudian skuad kendalian Kim Gi Dong sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan tengah JDT, Mauricio didakwa melakukan terjahan keras ke atas Mario Kvesic.
Sepakan itu diambil oleh kapten pasukan, Kang Sang-woo tetapi berjaya ditepis keluar Farizal namun pengadil memberi sepakan semula selepas penjaga gol negara itu didakwa keluar lebih awal sebelum bola disepak.
Peluang kedua itu, tidak lagi dipersia-siakan oleh Sang-woo untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-1.
Bersambung babak kedua, JDT bermula garang dan hampir menyamakan kedudukan namun rembatan Bergson da Silva tersasar melewati palang pada minit ke-48.
Skuad kendalian Benjamin Mora terus memberi tekanan terhadap benteng pertahanan lawan sehingga memaksa Steelers lebih banyak bertahan dan hanya sekali sekala melakukan serangan balas.
Keghairahan JDT melancarkan serangan dihukum pemain gantian, Kwon Gi-pyo yang meledak gol ketiga Steelers pada minit ke-82.
Penyerang Steelers, Lim Sang Hyub menambah derita JDT apabila menjaringkan gol keempat buat pasukannya selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan sekali gus mematikan hasrat Harimau Selatan untuk bangkit sekurang-kurangnya meraih satu mata.
Kedua-dua pasukan akan bertemu kembali bagi perlawanan timbal balik di venue sama pada Khamis ini.
Skuad Harimau Selatan memulakan kempen ACL dengan kekalahan 1-0 kepada Nagoya Grampus sebelum bangkit melakar kemenangan 1-0 ke atas Ratchaburi FC.