JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan rakyat agar jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin yang dipelopori pihak-pihak tertentu.
Baginda bertitah, rakyat perlu memahami bahawa tujuan pengambilan vaksin adalah untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus mengancam kesihatan orang ramai.
“Islam mengajar kita agar sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan dari apa jua kemudaratan khususnya wabak penyakit.
“Kaedah dalam menentukan hukum hakam ada menegaskan bahawa membenteras keburukan adalah lebih utama daripada membawa sesuatu kebaikan.
“Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah kita mendengar cerita karut yang disebarkan puak anti vaksin ini. Dapatkan vaksin demi keselamatan diri dan untuk imuniti kelompok agar penularan Covid-19 dapat dicegah,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Baginda turut berkenan memetik memetik Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud, jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.
“Ini yang diajar oleh agama kita. Mereka yang menolak tanpa sebab munasabah vaksin Covid-19 ini, yang telah disediakan oleh kerajaan dan sudah difatwakan halal oleh Jawatankuasa Fatwa, seolah-olah merelakan diri dijangkiti wabak yang amat berbahaya ini.
“Islam tidak membenarkan umatnya berserah bulat-bulat kepada takdir yang akan menimpa tanpa sebarang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkannya.
“Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin, janganlah leka akan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pula,” titah Baginda lagi.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan segelintir pihak di negara ini supaya tidak mempolitikkan isu suntikan vaksin.
“Isu vaksin ini tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya kerajaan sedang dan terus berusaha serta mengambil pelbagai pendekatan berkesan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat untuk mendapatkan vaksin,” titah baginda. – UTUSAN