KUALA LUMPUR: Penerbit drama dan filem, Micheal Ang meluahkan rasa bengang terhadap segelintir selebriti dan Instafamous yang sanggup menakut-nakutkan masyarakat berhubung pengambilan vaksin untuk kandungan media sosial mereka.
Micheal berkata, ketika masih ada dalam kalangan masyarakat yang gusar untuk menerima vaksin, sebagai seorang yang berpengaruh, selebriti atau Instafamous tidak seharusnya menggunakan vaksin sebagai kandungan untuk menjual produk mereka.
“Kepada artis Malaysia dan Instafamous, sudah-sudahlah guna vaksin sebagai kandungan untuk jual barang murah. Kau orang ini bodoh ke apa? Sudah tahu ramai rakyat Malaysia takut nak ambil vaksin, kau boleh takut-takutkan dengan buat video lepas ambil vaksin, kau sakit.
“Lepas itu, hujung video jual barang bodoh kau. Tahulah nak berniaga tapi sensitiflah sikit dengan apa yang sedang berlaku. Sakit hati tengok kenapa ada orang bodoh macam ini di muka bumi,” katanya menerusi gambar yang dimuat naik di Instagramnya.
Micheal yang jelas geram dengan tindakan segelintir selebriti itu turut ‘menasihati’ mereka untuk membuat kandungan media sosial selain vaksin atau Covid-19 kalau mahu menunjukkan kebodohan mereka.
“Jangan ambil kesempatan. Pergilah buat kandungan media sosial lain untuk tunjuk kebodohan kau yang buat-buat itu. Tapi jangan guna vaksin atau Covid-19 sebagai kandungan media sosial kau,” katanya.