'Jangan takut terima vaksin, tak sakit pun' - Utusan Malaysia

‘Jangan takut terima vaksin, tak sakit pun’

CHE MANAI (kiri) bersama Che Zainah (tengah) dan Che Halijah menadah tangan tanda syukur selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam program vaksin bergerak di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail, Kangar, Perlis. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tiada apa yang dapat diungkapkan tiga beradik buta di sini selain memanjatkan rasa syukur selepas akhirnya menerima suntikan vaksin Covid-19.

Tiga beradik dari Kampung Titi Besi, Arau itu merupakan antara 60 dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) kategori buta menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech menerusi program vaksin bergerak di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan kisah tiga beradik buta yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka berusia 100 tahun di Kampung Titi Besi itu musnah terbakar beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri dua tahun lalu.

Selepas peristiwa hitam itu, warga emas tersebut, Che Halijah Che Ibrahim, 80; Che Manai, 74; dan Che Zainah, 69, tidak menunggu lama untuk bangkit memulakan kehidupan baharu dengan mengusahakan perniagaan bantal dan kraf tangan di Jalan Pauh, Arau.

Tiga warga emas tersebut bersama rakan-rakan yang lain dilihat tenang dan ceria menerima suntikan tersebut yang bermula pukul 9 pagi itu.

Che Halijah ketika ditemui berkata, penganjuran vaksin bergerak tersebut dapat memudahkan mereka yang mempunyai masalah penglihatan untuk mendapatkan suntikan vaksin tanpa perlu pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada.

Katanya, dia sememangnya sudah tidak sabar menerima suntikan itu kerana penting bagi dirinya yang berusia ini supaya dapat mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Bukan apa, bila ada orang datang ke rumah pun kita akan berasa takut kerana tidak tahu mereka pergi ke mana dan mungkin terdedah dengan Covid-19. Insya-Allah selepas menerima suntikan vaksin ini, mungkin daya tahan lebih tinggi jika berjangkit. Apa pun kami serah kepada Allah SWT agar jauhkan daripada perkara tidak diingini.

“Program vaksin bergerak ini sangat baik dan memudahkan kami. Sebelum ini terfikir juga bagaimana untuk pergi ke PPV di Dewan 2020 itu. Saya datang dengan pemandu yang memang disediakan setiap kali mahu datang ke Kelas al-Quran Braille dan Fardu Ain di masjid ini,” katanya.

Adiknya, Che Manai pula berkata, dia langsung tidak berasa sakit ketika menerima suntikan vaksin tersebut.

“Alhamdulillah, tidak ada orang sekeliling yang menghalang kami daripada mengambil vaksin. Semasa menerima suntikan vaksin pun semua berjalan dengan lancar.

“Saya rasa amat baik diadakan program vaksin bergerak seperti ini kerana dapat membantu golongan-golongan seperti kami yang mungkin agak susah untuk pergi sendiri tanpa bantuan orang lain.

“Saya juga menasihatkan orang ramai menerima vaksin ini dan jangan takut atau terpengaruh dengan dakwaan tidak benar mengenai vaksin tersebut,” katanya.

Program vaksin bergerak oleh Jabatan Kesihatan negeri itu merupakan anjuran bersama Kelas al-Quran Braille dan Fardu Ain, Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya