SEREMBAN: Keputusan barisan menteri dan timbalan menteri untuk tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun merupakan sesuatu yang baik namun ia juga mestilah termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang lain.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam keadaan negara ketika menghadapi saat krisis yang genting, jemaah menteri perlu menunjukkan kepemimpinan menerusi teladan.
“Keputusan jemaah menteri untuk tidak mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan adalah disambut baik, namun ia janganlah sekadar gaji. Ia mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalunya lebih banyak dan tinggi, mengatasi gaji para menteri.
“Kepemimpinan melalui teladan dalam saat krisis segenting ini adalah kemestian yang sepatutnya telah lama dipamerkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, program bantuan PEMERKASA Tambahan (PEMERKASA Plus) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah langkah penting yang sangat diperlukan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menambah, meningkatkan kapasiti kesihatan awam adalah intervensi kritikal pada masanya dan negara sangat memerlukan lebih banyak unit rawatan rapi (ICU), sumber tenaga dan program vaksinasi.
“Menyedari kekangan fiskal kerajaan, amatlah penting setiap sen peruntukan untuk peningkatan kapasiti sektor kesihatan awam ini dimanfaatkan dengan telus dan mendatangkan impak sebaiknya.
“Kita tidak mahu pelaksanaannya nanti terjadi ketirisan, ketidakcekapan sistem serta pembaziran. Peruntukan yang banyak mesti mendatangkan impak berganda, kita mesti mengambil pengajaran dari pembangunan sistem pendaftaran vaksinasi, yang walaupun besar tetapi tidak berfungsi dengan baik dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat,” katanya.
Tambah Mohamad lagi, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang diteruskan juga sangat bertepatan dengan keadaan semasa.
“Kerajaan sedaya upaya berusaha meluaskan bantuan ini kepada seramai mungkin rakyat. Mungkin strategi ini boleh diperbaiki dengan memastikan golongan paling terjejas menerima lebih banyak bantuan.
“Ekuiti dalam pengagihan bukan bermakna semua mendapat bantuan yang saksama. Mereka yang memerlukan lebih wajar menerima lebih banyak dan yang kurang terjejas, menerima sekadarnya,” katanya.
Mohamad dalam pada itu berharap, segala insentif yang diumumkan tersebut akan segera dilaksanakan tanpa berlengah, telus, amanah dan cekap. – UTUSAN