IPOH: Polis mengingatkan orang ramai di tiga perkampungan di Mukim Kinta yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini agar tidak menyelinap keluar dari kawasan berkenaan.
Tiga kampung yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi itu ialah Kampung Jelapang Baru, Kampung Sungai Tapah dan Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kerjasama penduduk diperlukan bagi menyalurkan maklumat sekiranya terdapat individu cuba keluar dari lokaliti tersebut termasuk laluan tikus.
Katanya, tindakan tegas juga akan diambil di bawah kanun keseksaan mahupun ordinan darurat sekiranya didapati penduduk cuba melakukan khianat dengan merosakkan kawat duri, halangan mahupun tali kuning polis yang dipasang di kawasan berkenaan.
“Jika ada maklumat individu cuba keluar dari kawasan PKPD, maklumkan kepada kita. Kita ada terima maklumat mengenai kes cuba keluar dari sini.
“Kita ingatkan tindakan tegas akan diambil dan kompaun juga akan dikeluarkan. Oleh itu, jangan sewenang-wenangnya melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPD,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.
Menurut A. Asmadi, pihaknya telah mengenal pasti lebih 10 laluan tikus di tiga lokaliti itu dan akan menutup laluan tersebut dengan kawat duri dan tali kuning polis.
Beliau memberitahu, penduduk akan menjalani proses saringan secara bersasar dan sebarang pergerakan dalam kawasan itu juga akan disekat.
“Sebarang permohonan atau kegiatan mahupun pergerakan di kawasan ini perlu dikemukakan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk kelulusan.
“Bagi pihak polis, kita akan pastikan tiada pergerakan tanpa kebenaran kerana itu adalah asas dilaksanakan PKPD untuk memutuskan penularan Covid-19,” katanya.
Tambah beliau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan amal yang ingin memberi bantuan bekalan makanan kepada penduduk juga perlu mendapatkan kebenaran daripada PKOB.
“Untuk maklumat, semua kerja-kerja bantuan makanan kering telah diaktifkan dan sebarang masalah boleh disalurkan kepada PKOB Kinta di talian 016-9445100 atau 05-5261453 dan 05-5260235,” katanya.
PKPD tersebut bermula pada 12 tengah malam 6 Jun sehingga 19 Jun ini.