PETALING JAYA: Pelakon jelita, Puteri Sarah Liyana, mengambil inisiatif membantu keluarga tidak berkemampuan dengan memberi makanan percuma sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Menurut Puteri Sarah, niat dan usahanya itu merupakan kerjasama bersama peniaga, Izdihar Rizkallah membantu dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Menerusi entri Instagramnya,, pelakon Sabarlah Duhai Hati itu meminta serta mengalu-alukan keluarga yang kurang berkemampuan agar terus menghantar pesanan teks menerusi media sosialnya.
“Kepada keluarga yang tidak berkemampuan sepanjang PKP ini, tolonglah mesej sahaja Sarah. Izdihar Rizkallah akan menghantar makanan percuma tetapi hanya sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Jangan malu-malu, hantar sahaja pesanan teks kepada Sarah. Kami akan hantar makanan percuma ini kepada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.
Selanjutnya, dia meminta kepada warganet untuk menyebarkan inisiatif tersebut supaya usaha murninya itu sedikit sebanyak membantu mereka yang terkesan.
Di samping itu, pelakon Dayana Roza juga meneruskan usaha menghulurkan bantuan secara peribadi dengan mengutamakan golongan yang mempunyai anak kecil terjejas punca pendapatan ketika ini.
Menerusi entri Instagram Dayana, dia mengambil inisiatif membantu peniaga-peniaga kecil untuk berkongsi perniagaan mereka melalui ruang komen perkongsiannya tersebut.