Jangan kibar bendera kekalahan - Utusan Malaysia

Jangan kibar bendera kekalahan

ROSLI ABDUL JABAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: ‘Jangan angkat bendera putih kerana ia seperti mereka yang kalah dalam peperangan’.

Itu pandangan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar yang tidak bersetuju dengan tindakan itu sambil menegaskan masih terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan bantuan.

Dengan cara mengangkat bendera putih bagi memaklumkan kehabisan makanan, katanya, akan ada pihak yang mengambil kesempatan.

“Cara ini tidak sesuai dilaksanakan bagi memelihara maruah diri dan ummah dan kita masih ada cara yang lebih baik dan dapat menutup keaiban orang,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya.

Rosli berpandangan, ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) mesti membuka bilik operasi bantuan dan membuka talian operasi sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sekali gus menjadi penyelaras kepada organisasi yang diamanahkan untuk menyalurkan bantuan.

Menurutnya, organisasi komuniti masyarakat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), kejiranan dan seumpamanya juga mesti membuka bilik operasi bantuan untuk orang yang terputus bekalan makanan, juga menyediakan khidmat penghantaran bagi yang tiada kenderaan.

“Masjid, surau mesti berperanan sebagai pusat bantuan rakyat sama ada dengan dana bantuan kerajaan, masjid, surau, majlis agama, pusat zakat dan bantuan orang ramai. Bagi yang bukan Islam juga boleh dilaksanakan di kuil, tokong, gereja dan mana-mana pusat komuniti mereka.

“Pastikan talian operasi diketahui oleh komuniti dengan apa jua cara sebaran. Yang memerlukan bantuan boleh datang atau menghubungi talian operasi, data maklumat akan dapat mengelakkan orang mengambil kesempatan, datang berulang kali sehingga rumah mereka jadi stor menyimpan barang sumbangan, sekali gus ia dapat memelihara maruah.

“Jangan angkat bendera putih, macam orang kalah perang, kita masih ada kekuatan, kibarkan panji Islam dengan kibaran syiarnya Islam sebagai agama yang saling membantu,” katanya.

Rosli berkata bagi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur di sini boleh menghubungi talian operasi 011-59897556, jika terputus bekalan makanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya