Jangan jadikan lembu seludup untuk ibadah korban - Utusan Malaysia

Jangan jadikan lembu seludup untuk ibadah korban

CHE Abdullah Mat Nawi (tengah) menerima serahan sumbangan Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md. Nor untuk diagihkan kepada penduduk Taman Perumahan Merbau Utama, Selising, Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Orang ramai khususnya penternak, peniaga dan pembekal daging lembu digesa mematuhi perintah kawalan pergerakan haiwan ruminan bagi memutuskan rantaian penularan lumpy skin disease (LSD) atau penyakit kulit kental di negara ini.

Ini termasuklah melakukan ibadat korban menggunakan lembu yang diseludup masuk ke negara ini secara haram dari Thailand.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kegiatan penyeludupan lembu bagi memenuhi permintaan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha boleh disifatkan sebagai keuntungan jangka pendek yang tidak berbaloi.

Jelas beliau, kedegilan mana-mana pihak yang ingkar peraturan tersebut hanya akan menggagalkan usaha kerajaan yang kini sedaya upaya menyelamatkan industri penternakan haiwan ruminan negara daripada binasa.

“LSD merupakan penyakit bahaya yang boleh merebak dari seekor lembu kepada lembu lain dengan mudah. Jika seekor sahaja lembu yang terkena penyakit ini dalam satu kandang, maka keseluruhan populasi ternakan tersebut di kawasan itu perlu dilupuskan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin kepada penduduk Taman Perumahan Merbau Utama, Selising di sini hari ini.

Che Abdullah berkata, pihak kementerian sentiasa meneliti data mengenai lembu yang masuk ke negeri ini terutama lembu seludup bagi memastikan LSD yang sudah mula dikesan menular di Thailand dapat dibendung daripada menular ke negara ini.

“Usaha membanteras penyeludupan lembu kini diberi fokus utama pihak berkuasa dengan pelbagai pendekatan dibuat termasuk sekatan jalan raya serta pemeriksaan dan operasi bersepadu di pintu sempadan, pangkalan haram dan lorong-lorong tikus,” katanya.

Mengulas berkaitan program MAFI Prihatin, Che Abdullah berkata, sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk menyalurkan bantuan makanan kepada 560 keluarga yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini.

Bantuan tersebut disalurkan agensi-agensi di bawah kementerian seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Nanas Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya