KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mahu namanya digunakan pada sesuatu tempat atau jalan sebagai legasi jika ditakdirkan beliau ‘pergi’ selama-lamanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekali pun beliau menjangkau usia itu atau kurang, Dr. Mahathir tidak peduli akan legasi yang pernah dibina sepanjang mentadbir negara selama 22 tahun.
Jelasnya, sejak menyandang jawatan Menteri Pelajaran, langkah pertama yang diambil adalah tidak sesekali menggunakan namanya sebagai mercu tanda di institusi pendidikan negara ini.
“Saya tak mahu kekalkan nama saya melalui nama sekolah sedangkan sebelum ini semua menteri pelajaran beri nama mereka kepada sekolah bahkan nama isteri sendiri.
“Kalau saya ‘tiada’ lagi di sini segala yang saya lakukan akan dimusnahkan. Jadi orang yang sokong saya akan terus sokong, sama ada saya nak tinggal satu legasi yang baik atau buruk.
“Kalau ada yang baik (pasal saya) orang fikir baik kalau ada yang fikir buruk, akan terus fikir buruk. Lagi pun saya dah tak ada, jadi apa nak peduli apa yang orang kata? Saya bukannya boleh jawab,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama media tempatan secara dalam talian dan disiarkan di Facebooknya bertajuk Tun M Jawab Isu Majlis Gerakan Negara (Mageran), Hala Tuju Parti.
Kenyataan itu hadir selepas ditanya pemberita sama ada Ahli Parlimen Langkawi itu berasakan masih diingati menjelang usianya ke 100 tahun akan datang.
Dr. Mahathir bakal menyambut ulang tahun ke 96 pada 10 Julai ini.
Untuk rekod, Presiden Parti Penaja Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu pernah menerajui Kementerian Pendidikan pada 5 September 1974 sehingga 1 Januari 1978.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir sekali lagi menyatakan bahawa beliau sayang kepada negara melebihi diri sendiri dan sebarang legasi yang ada tidak penting.
“Saya tetap akan pergi. Sama ada sampai usia 100 atau tidak, saya akan pergi tak lama lagi. Selagi saya boleh menyumbang kepada negara, saya nak sumbang.
“Lagi pun, ramai orang minta saya beri pandangan dan kadang-kadang minta saya bertindak. Saya fikir saya masih boleh. Cakap tak mengarut, saya boleh buat analisis, pendapat, masih baca buku untuk tambah ilmu,” katanya. – UTUSAN ONLINE