JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersedia menawarkan perkhidmatan kaunseling untuk keluarga yang berdepan tekanan perasaan dan gangguan emosi akibat hilang kerja atau masalah lain disebabkan pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, Bahagian Pembangunan Keluarga JAINJ mempunyai skuad khas dalam menangani masalah tersebut dengan memberikan nasihat, bimbingan dan kaunseling.
“Ini termasuk masalah kewangan, masalah rumah tangga atau masalah perniagaan disebabkan Covid-19, kita akan bantu, mereka hanya perlu datang ke pejabat JAINJ negeri atau di daerah masing-masing.
“Boleh juga bertanyakan atau mohon perkara ini secara dalam talian. Bukan sahaja masalah disebabkan Covid-19 tetapi penyakit kronik lain dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan sumbangan dan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020, Siti Asiah Shamsol Sayfol yang memperoleh pangkat Mumtaz Sofi di Tanjung Puteri Resort, di sini.
Hadir sama Pengarah JAINJ, Datuk Md. Rofiki Samsudin dan Pengetua Maahad Johor, Md. Radhi Ruslan.
Tosrin mengulas insiden seorang suami, Khairul Kasmon, 35, yang berubah personaliti dan menghidap tekanan mental selepas dihentikan kerja sebagai pemandu jengkaut akibat PKP seperti dilaporkan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Justeru, beliau menasihatkan mana-mana pasangan yang bermasalah supaya tidak mengambil tindakan merugikan sebaliknya meminta bantuan pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi pusat zakat atau Baitulmal.
Jelasnya, bagi keluarga bukan Islam yang berdepan masalah sama akibat pandemik itu boleh memohon bantuan dan pihak MAINJ sedia menimbangkannya.
Katanya, kelonggaran bayaran sewa turut diberikan kepada penyewa pejabat dan rumah kedai milik MAINJ dari Jun hingga Ogos ini.