PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam merekodkan 885 individu dicekup dengan seramai 852 daripadanya dikompaun manakala 33 lagi direman hasil pemantauan melibatkan 92,202 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, kesalahan tertinggi kali ini adalah gagal merekod butiran di premis sebanyak 178 kes, diikuti tidak patuh jarak fizikal dengan 145 kes, tidak memakai pelitup muka (144), gagal mematuhi arahan PKP (101), membawa penumpang berlebihan dalam kenderaan (73) dan lain-lain (165).
“Seramai 455 individu yang tiba di tanah air semalam diarah kuarantin dengan sejumlah 9,104 individu masih lagi berada di pusat kuarantin wajib seluruh negara selain seramai 2,566 individu terlibat dibawa ke hospital, manakala 211,161 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini
Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 680 peruncit, 157 pemborong dan 30 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,498 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya sebanyak 31 premis yang terlibat dikenakan kompaun.
Beliau juga mengesahkan, hanya 10 daripada 143 pekerja asing didapati positif Covid-19 setelah melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia di seluruh negara semalam. – UTUSAN