PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyediakan kertas kerja berkenaan isu penghinaan agama Islam susulan isu demi isu yang tercetus akhir-akhir ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jakim supaya segera menyiapkan kertas kerja itu sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata, Malaysia bukanlah baru berusia setahun jagung malah semua masyarakat berbilang kaum hidup bersama lebih 60 tahun.
“Jika diumpamakan seperti manusia, sudah memutih uban di kepala. Amat luas ilmu dan pengalamannya.
“Semangat muhibbah yang kita telah bina puluhan tahun ini sudah pasti tidak mudah dirobohkan hanya kerana satu dua isu.
“Namun, isu yang dipandang remeh itulah kadangkala boleh mencetuskan api yang amat marak justeru hal inilah yang memerlukan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan isu dan permasalahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Katanya, umum mengetahui insiden yang berlaku baru-baru ini yang melibatkan sensitiviti keagamaan dan pihak berkuasa telah menjalankan siasatan mengenainya.
Zulkifli berkata, beliau berterima kasih atas keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa berusaha memelihara kesucian agama Islam selain mengukuhkan hubungan persefahaman antara kaum dan agama.
Sebelum ini, enam lelaki tempatan terdiri daripada lima penghantar makanan dan seorang pelanggan ditahan selepas terlibat dalam satu pergaduhan melibatkan sensitiviti keagamaan di Sungai Way, Petaling Jaya pada Jumaat lalu.
Kejadian dipercayai berlaku selepas seorang pelanggan telah menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti umat Islam iaitu Ardilas anak Allah Taala Tuhan Allah Taala ketika membuat pesanan kepada penghantar makanan yang beragama Islam.