PETALING JAYA: Akibat sering menerima kritikan oleh segelintir individu berkaitan bentuk fizikal, pelakon berkaliber, Uchee Fukada, berkongsi pengalaman hidupnya sebelum ini menghidapi penyakit kanser usus.
Menerusi perkongsian entri Instagram Uchee, dia yang menghidapi kanser tersebut sekitar tahun 2016 menitipkan rasa syukur kerana diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
“Kehidupan saya kali ini adalah peluang kedua yang Allah beri untuk perbetulkan semula diri ini supaya jadi manusia yang bersyukur dan rasa mencukupi.
“2016 adalah fasa gelap dalam kehidupan saya. Doktor kata 50-50 untuk hidup. Masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) tiga minggu. Keluarga dan rakan datang melawat baca yasin sahaja (sekiranya saya meninggal).
“Selepas itu, saya tidak bekerja setengah tahun untuk pulih, guna insuran sampai habis untuk tanggung belanja perubatan. Berat turun dari 58 kilogrtam (kg) kepada 40 kg. Pada 2018, doktor kata saya sudah bebas daripada penyakit itu,” katanya.
Pelakon popular menerusi drama Nur turut meluahkan rasa geram dengan sikap segelintir individu yang gemar mengkritik bentuk fizikal serta menilai orang.
“Bagaimanapun, saya bersyukur dan gembira sekarang. Jangan tanya kenapa berat aku naik, kepala aku beruban serta jangan tanya kenapa itu kenapa ini.
“Semua orang ada fasa kehidupan masing-masing. Jangan menilai orang dan mengkritik bentuk fizikal! Korang tak tahu apa seseorang dah pernah lalui. Jaga mulut dan peribadi okey!” luahnya.
Dalam pada itu, Uchee kini juga perlu menjaga pemakanan walaupun dirinya sudah kembali pulih.