ROME : Itali melebarkan rekod tanpa kalah kepada 30 perlawanan selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Wales yang mengakhiri permainan dengan 10 pemain dalam aksi terakhir kumpulan A Euro di Stadium Olimpico, sebentar tadi.
Mengusai 70 peratus permainan, Itali berhak muncul sebagai pemenang dalam perlawanan yang berlangsung dihadapan penyokong sendiri sekali gus mara ke peringkat 16 terbaik selaku juara kumpulan A.
Kali terakhir skuad Azzurri memenangi semua aksi peringkat kumpulan adalah pada tahun 1990 di Rome dalam saingan Piala Dunia namun kemenangan mereka dihentikan Argentina selepas tewas dalam penentuan sepakan penalti di peringkat separuh akhir.
Biarpun muncul pasukan pertama meraih tiket ke peringkat seterusnya, namun pengendali Itali Roberto Mancini tidak mengambil mudah cabaran Wales apabila tetap menurunkan barisan terbaik dalam perlawanan tersebut.
Itali terpaksa menunggu sehingga minit ke-39 untuk membuka tirai jaringan menerusi ledakan Matteo Pessina.
Peluang Wales untuk memburu gol penyamaan semakin tipis pada babak kedua selepas pertahanan tengah, Ethan Ampadu dilayangkan kad merah pada minit ke-55 selepas melakukan kekasaran ke atas Federico Bernardeschi yang dikenal pasti menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Walaupun Itali dan Wales mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun gagal disudahkan oleh jentera serangan kedua-dua pasukan sekaligus menyaksikan kedudukan kekal sehingga berakhir perlawanan.
Meskipun tewas, Wales yang diketuai Gareth Bale masih mampu mengiringi skuad Azzurri ke peringkat kalah mati sebagai naib juara. – AGENSI