ROME: Penyerang Itali, Federico Chiesa menjangkakan saingan hebat daripada Wales dengan skuad The Azzurri sedang memburu kemenangan ke-10 tanpa bolos.
Skuad bimbingan Roberto Mancini akan menentang Wales untuk menentukan tempat teratas Kumpulan A di Rome, Ahad ini, selepas menang 3-0 ke atas Turki dan Switzerland.
“Wales adalah pasukan yang biasanya akan melawan. Mereka memiliki pemain berpengaruh di peringkat antarabangsa terutama Gareth Bale,” kata Chiesa.
Wales memiliki empat mata selepas dua aksi di Baku dan satu lagi mata akan mengesahkan mereka mara ke pusingan kalah mati dan jika menewaskan Itali, mereka akan menduduki tangga teratas Kumpulan A.
Chiesa belum lagi diturunkan dalam dua perlawanan kumpulan.
“Sudah tentu, saya berharap untuk diturunkan dan saya menerima keputusan jurulatih. Saya bersedia apabila dia mahu menggunakan khidmat saya,” kata penyerang berusia 23 tahun itu.-AFP