KUALA LUMPUR: Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menyebut kata-kata menghasut yang cenderung menghina Yang di-Pertuan Agong, Sabtu lalu.
Iswardy, 44, didakwa mengeluarkan perkataan melalui Facebook Iswardy Morni Official yang mempunyai kecenderungan mendatangkan penghinaan terhadap Seri Paduka.
Minggu lalu, satu video secara ‘live’ antara lain mengulas berkenaan ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini’ yang dikatakan menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tular dalam media sosial.
Tertuduh yang ditahan di kediamannya di Kajang dekat sini Ahad lalu, didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3 petang, 29 Mei lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Hakim Mahyon Talib membenarkan Iswardy dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut pada 2 Ogos ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memohon jaminan RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Beliau yang juga merupakan Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Bahagian Pendakwaaan Jabatan Peguam Negara (AGC) turut memohon syarat jaminan tambahan iaitu tertuduh dilarang membuat sebarang komen di media cetak, media elektronik mahupun media sosial.
Komen-komen yang dilarang itu berbentuk hasutan, jelek dan komen yang menyakitkan hati yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Mahkamah membenarkan syarat tambahan itu dan mengeluarkan arahan bahawa jika dilanggar, jaminan terhadapnya akan dibatalkan.
Peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya telah memberi kerjasama yang baik ketika disiasat oleh pihak polis.