PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) mengambil langkah segera dengan terus memperkasa program sedia ada Insken e-BizClinic bagi membantu dan membimbing usahawan-usahawan yang terkesan ekoran pandemik agar perniagaan mereka dapat bertahan dan terus beroperasi walaupun dalam kadar minimum.
Menurut Insken, pihaknya terus tampil ke hadapan dalam membantu usahawan kekal teguh bagi menghadapi krisis pandemik berikutan prestasi ekonomi usahawan dijangka merosot ekoran semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, Insken e-BizClinic merupakan inisiatif konsultasi percuma yang diberikan oleh BisKaunselor Insken kepada usahawan yang bertujuan untuk membantu, memperbaiki serta menambahbaik perniagaan mereka.
“Keistimewaan inisiatif ini, usahawan dibimbing secara ‘one-to-one’ menerusi sesi atas talian dengan menggunakan platform-platform bersesuaian yang boleh diakses oleh kedua-dua pihak seperti Google Meet, Zoom dan WhatsApp Video Call.
“Usahawan-usahawan juga berpeluang untuk berbincang bersama BisKaunselor bagi merangka tindakan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam perniagaan. BisKaunselor juga memberikan panduan dan cadangan penyelesaian untuk masalah yang dihadapi selain memberikan pendedahan dan informasi mengenai bantuan-bantuan perniagaan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu usahawan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, usahawan perlu sentiasa merebut peluang serta inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan dan agensi khususnya dalam kategori pembangunan usahawan.
Katanya, usahawan dinasihatkan untuk berusaha ke arah penyenaraian syarikat masing-masing dan mendapatkan konsultasi agar dapat dibimbing dalam mencapai objektif tersebut.
“Sesi konsultasi yang fleksibel ini dilaksanakan minimum selama 20 minit tiada penetapan had masa untuk usahawan berbincang mengenai masalah yang dihadapi. Usahawan digalakkan untuk mendapatkan maklumat serta bersoal jawab sebanyak yang mungkin agar matlamat mereka tercapai khususnya dalam memperbaiki dan memperkukuhkan perniagaan,” katanya.
Sejak tahun lepas, seramai 1,835 usahawan mendaftar serta menerima konsultasi percuma secara atas talian melalui sesi e-BizClinic dan mensasarkan lebih ramai lagi usahawan yang dibimbing serta dibantu dalam masa terdekat dan pada masa hadapan.
Maklumat lanjut mengenai Program e-BizClinic serta program latihan dan bimbingan keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad boleh diperolehi melalui laman web rasmi www.insken.gov.my. – UTUSAN