KAHERAH: Seorang kanak-kanak lelaki diikat pada batang kayu oleh bapanya sebelum badannya dilumurkan dengan madu untuk menarik perhatian lebah mendekatinya.
Lapor Daily Mail, bapanya bertindak demikian kerana ingin menghukum anaknya atas kesalahan mencuri.
Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu didakwa mencuri selepas jirannya membuat aduan.
Satu gambar tular menunjukkan kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Muhammad D, terikat pada batang kayu dengan sejumlah serangga menghurungi badannya.
Sehubungan itu, bapa mangsa yang berusia 34 tahun ditahan polis kerana menganiaya anaknya.
Bapa mangsa turut memberitahu dia meletakkan anaknya di atas bumbung rumah mereka dengan harapan lebah dan nyamuk akan menghurungi anaknya.
Namun, tidak diketahui berapa lama kanak-kanak itu berada di bumbung rumahnya.
Media tempatan melaporkan, hukuman tidak berperikemanusiaan itu hanya disedari ibu mangsa yang mencari anaknya di atas bumbung rumah mereka.
Terkejut melihat anaknya ‘diseksa’, ibu Muhammad terus menghubungi jabatan kebajikan kanak-kanak dan melaporkan insiden berkenaan.
Sementara itu, Muhammad dilaporkan trauma dengan kejadian itu, namun keadaannya stabil.