PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menyatakan kebimbangan apabila pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan kritikal tidak dapat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) susulan penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapati kes Covid-19 di ICU masih tidak menunjukkan pengurangan ketara walaupun terdapat penurunan kes harian bagi tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai 1 Jun lalu.
Katanya, kebimbangan dan situasi ini berlaku kerana kemunculan pelbagai varian baharu yang mengakibatkan kes dikesan dengan gejala serius bagi kategori empat dan lima serta merosot pada kadar yang lebih cepat.
“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap penyakit.
“Penggunaan katil yang melebihi kapasiti ini juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit ICU untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori empat adalah di antara 14 hari ke 16 hari manakala bagi pesakit kategori lima pula, tempoh rawatan di ICU adalah di antara 19 hari ke 26 hari.
Katanya, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memasukkan beberapa indikator ambang utama termasuk kadar penggunaan katil di Wad ICU.
“Mengikut trend kemasukan kes Covid-19 ke ICU menunjukkan peningkatan bermula sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-17 iaitu 25 April hingga 1 Mei serta hingga ME ke-21 iaitu 23 Mei hingga 29 Mei.
“Trend yang sama dilihat berterusan terutama bagi tempoh dua minggu seterusnya sehingga ME ke-23 iaitu 6 Jun hingga 12 Jun dengan jumlah pengunaan katil ICU telah melebihi 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil langkah dengan menambah kapasiti katil sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Awam khusus merawat pesakit Covid-19.
Selain itu katanya, menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19 malah bekerjasama dengan hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan terkini, Hospital Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Kita juga bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan dan sehingga kini, enam Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital kementerian.
“Kerjasama erat juga dilakukan dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU,” katanya.