PUTRAJAYA: Ibu kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, Bibi MacPherson @ McPherson, 90, meninggal dunia pada pukul 11.54 malam tadi di kediaman Nancy di Kuching, Sarawak, kerana sakit tua.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada menteri itu, Syeliza Basri hari ini.
Allahyarham Bibi adalah anak pertama daripada dua beradik dari pasangan John Andrew McPherson, Residen Kapit berketurunan British Scottish semasa pemerintahan Rajah Sir Vyner Brooke, dan ibunya, Chua Eng Dok berbangsa Cina Iban dari Kapit.
Semasa berusia 11 tahun, beliau diselamatkan seorang wanita Melayu dikenali sebagai Rokiah ketika ayahnya dibunuh tentera Jepun semasa dalam perjalanan untuk menyelamatkan diri di Batang Ai.
Allahyarham dibesarkan di Kampung Panglima Seman Lama, Kuching sebelum berkahwin dengan seorang guru berbangsa Melayu Melanau dari Santubong, Shukri Mahidi pada tahun 1948 dan dikurniakan 11 orang anak.
Nancy adalah anak ke-10.
Sepanjang hayatnya, beliau telah bergiat aktif dan menyumbang bakti kepada wanita di kawasan luar bandar melalui Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) serta aktif dalam politik wanita Sarawak. – UTUSAN ONLINE