Hukuman lebih berat kepada pesalah 'public figure' - Utusan Malaysia

Hukuman lebih berat kepada pesalah ‘public figure’

RINA Mohd. Harun mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial. - FOTO IHSAN KPWKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Akta perundangan dengan hukuman lebih berat bagi kesalahan-kesalahan eksploitasi kanak-kanak terutamanya kepada pesalah-pesalah yang merupakan ‘public figure’ berpengaruh perlu dibuat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, perkara itu antara diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial yang dipengerusikan beliau semalam.

Beliau berkata, perkara lain yang diputuskan ialah merancang dan melaksanakan tindakan pencegahan yang lebih pantas melalui platform dalam talian untuk mengekang sebarang aplikasi permainan berunsur eksploitasi dan jenayah terhadap kanak-kanak.

“Antara perkara yang telah diputuskan di dalam mesyuarat tersebut ialah lebih banyak program kempen kesedaran kanak-kanak dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan lain-lain dalam penghasilan video kesedaran pencegahan jenayah terhadap kanak-kanak bagi tayangan umum.

“Di samping itu ialah melaksanakan kempen atau penerangan yang lebih jelas, sesuai dan berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan kanak-kanak melalui pelbagai medium,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Rina berkata, pihak kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan memastikan kebajikan dua mangsa kanak-kanak yang terbabit dalam komunikasi lucah dan amang seksual oleh seorang pengasas kosmetik baru-baru ini, terpelihara.

Beliau berkata, mangsa kanak-kanak itu juga akan diberikan bantuan berbentuk panduan modifikasi tingkah laku dan akan dibekalkan dengan bahan program psiko pendidikan yang mengandungi maklumat seperti pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif.

“Mereka juga akan diberi bimbingan dalam usaha memupuk kesedaran dan memberikan sokongan psikososial yang bersesuaian,” katanya.

Katanya, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kementerian berpendirian tegas bahawa kanak-kanak di bawah usia 18 tahun perlu dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi terutamanya eksploitasi seksual.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya