WELLINGTON – ‘Ratu’ angkat berat, Laurel Hubbard mencipta kontroversi apabila muncul atlet transgender pertama menyertai Sukan Olimpik selepas New Zealand menyenaraikan namanya dalam acara wanita di Tokyo 2020.
Hubbard yang kini berusia 43 tahun, juga menjadi atlet angkat berat tertua menyertai Olimpik itu, bakal mengambil bahagian dalam kategori super heavyweight (87kg ke atas) wanita di Tokyo nanti.
Bagaimanapun penyertaannya mendapat tentangan hebat memandangkan dia mempunyai kekuatan dan tenaga lelaki biarpun selepas ‘bertukar’ menjadi wanita pada 2012.
Bercakap setelah pemilihannya diumumkan, Hubbard, yang memenangi pingat perak dalam Kejohanan Dunia Wanita 2017 mengatakan, dia gembira dapat menyertai Olimpik setelah pulih dari kecederaan pada Sukan Komanwel 2018.
“Saya bersyukur dan gembira di atas sokongan anda semua. Semasa saya mengalami patah tangan di Sukan Komanwel tiga tahun lalu, saya mendapat nasihat agar saya berhenti daripada aktif dalam sukan ini.
“Saya fikir karier saya sudah berada di penghujungnya. Bagaimanapun, atas sokongan anda, dorongan anda, ‘aroha’ (kasih sayang) anda telah menarik saya dari tempat gelap,” katanya.
Hubbard layak untuk bertanding di Olimpik sejak 2015, ketika Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengeluarkan garis panduan yang membolehkan mana-mana atlet transgender bersaing sebagai wanita dengan syarat tahap testosteron mereka berada di bawah 10 nanomole seliter selama sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum pertandingan pertama mereka.- AGENSI