Hishammuddin bakal hadiri Forum Antalya, lawat Mesir - Utusan Malaysia

Hishammuddin bakal hadiri Forum Antalya, lawat Mesir

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bakal mengetuai delegasi negara ke Forum Diplomasi Antalya di Antalya, Turki selama dua hari bermula esok.

Kementerian Luar memaklumkan, forum antarabangsa di bandar peranginan popular pinggir Laut Mediterranean tersebut akan dirasmikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

“Forum dijangka meneroka horizon diplomasi merentasi isu serantau dan global dengan tema ‘Diplomasi Inovatif: Era Baharu, Kaedah Baharu’,” jelas kementerian itu menerusi kenyataan di sini.

Acara yang sepatutnya diadakan tahun lalu itu ditunda ke tahun ini susulan pandemik Covid-19 dan bakal disertai pemimpin asing dari 44 negara.

Wisma Putra memaklumkan, Hishammuddin akan menjadi salah seorang ahli panel di forum berkenaan dalam sesi yang bertajuk ‘Kerjasama Serantau di Benua Asia’.

Beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala sebagai acara sampingan forum dengan bertemu Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu dan Menteri Luar Palestin, Riad Maliki.

Ia merupakan pertemuan bersemuka peringkat antarabangsa pertama yang dianjurkan Turki sejak penutupan sempadan negara ekoran kebimbangan Covid-19 awal tahun lalu.

Ini disusuli lawatan kerja rasmi beliau ke Mesir selama dua hari mulai Ahad ini yang merupakan kunjungan sulung sejak dilantik menerajui Kementerian Luar pada 10 Mac 2020.

“Beliau bakal membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi dan melakukan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar, Sameh Hassan Shoukry,” katanya.

Wisma Putra menambah, Hishammuddin juga akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Zon Ekonomi Khas Terusan Suez, Mohamed Yehia Zaki di Kaherah.

Malaysia dan Mesir sekian lama menjalin hubungan akrab dijana hasil pelbagai kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan hal ehwal agama Islam.

Mesir merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di rantau Afrika Utara dan lawatan julung kali ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan erat antara kedua-dua negara berkenaan.

Kedua-dua lawatan melibatkan delegasi Malaysia tertakluk prosedur operasi standard paling ketat yang ditetapkan negara terbabit dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya