KUALA LUMPUR: Penerbit, Shuhaimi Lua, berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan memberi kelonggaran kepada pemain industri seni kreatif terutama membabitkan penggiat seni dalam bidang penerbitan drama dan filem.
Menurut penerbit Tanah Beris Film Production Sdn Bhd itu, jika diperhatikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, belum ada lagi kluster daripada bidang tersebut.
“Saya betul-betul berharap kepada pihak kerajaan untuk faham situasi penggiat seni. Hal itu kerana, golongan kami ini tidak pernah sekali pun menyusahkan pihak mereka.
“Sepanjang PKP kami semua patuh pada prosedur operasi standard (SOP). Kami akan pastikan dulu semua kru terlibat mendapat keputusan negatif pada ujian calitan sebelum hadir atau menjalankan aktiviti penggambaran.
“Malah, ketika penggambaran dijalankan, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan memantau pergerakan kami setiap hari,” luahnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Shuhaimi yang juga merupakan seorang pengarah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan senario penggiat seni ketika PKP penuh dan perancangan sebaik sahaja tindakan itu tamat.
“Sekali lagi saya menyeru agar pihak kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya. Untuk makluman, penggiat seni tidak ramai yang mendapat bantuan kerajaan, jadi perhatikanlah kami ini serta merujuk semula industri seni.
“Pendapatan dan kelangsungan hidup kami, kebanyakan bergantung sepenuhnya menerusi pekerjaan itu. Sudah hampir dua bulan tiada penggambaran dijalankan, parah juga macam ini,” tegasnya.
Untuk rekod, Shuhaimi kini sedang menunggu PKP penuh ditamatkan untuk menyambung semula penggambaran drama rantaian 20 episod, Oh My Hantaran di saluran TV9 slot Diandra yang masih berbaki beberapa episod.