IPOH: Seramai 20 orang dibenarkan untuk bertugas bagi setiap sesi ibadah korban dan akikah di negeri ini sempena Hari Raya Aidiladha kali ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun ibadah korban dan akikah tidak dibenar dilakukan di kawasan yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, jumlah petugas ibadah korban yang ditetapkan itu termasuk ahli jawatankuasa kariah masjid atau surau dan jawatankuasa korban yang ditetapkan.
Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menzahirkan titah perkenan untuk pelaksanaan ibadah korban dan akikah selaras dengan tatacara dan panduan pelaksanaan ibadah berkenaan yang disembah maklum kepada baginda terlebih dahulu.
Katanya, baginda juga memperkenankan pelaksanaan ibadah korban dan akikah selama empat hari bermula pada Hari Raya Aidiladha 10 Zulhijah dengan beberapa syarat utama.
“Jawatankuasa kariah atau surau dan jawatankuasa ibadah korban digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan di Rumah Sembelih Negeri Perak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Selain itu kita juga membenarkan penyembelihan dijalankan di pekarangan masjid atau surau serta premis yang dibenarkan oleh JPV,” katanya menerusi pekeliling yang diedarkan kepada media hari ini.
Menurut Mohd. Yusop, maksimum hanya sembilan ekor lembu atau kerbau dan 14 ekor kambing dibenarkan disembelih pada hari pertama melibatkan sesi pagi dan petang di setiap lokasi penyembelihan yang dibenarkan.
“Bagi hari kedua hingga ke empat, maksimum sebanyak 10 ekor lembu atau kerbau dan 16 ekor kambing dibenarkan melibatkan sesi pagi dan petang,” katanya.
Menurutnya, peserta ibadah korban dan akikah serta ahli keluarga tidak dibenarkan berada di lokasi ibadah dilakukan kecuali jika disenaraikan sebagai petugas.
“Orang awam juga tidak dibenarkan hadir mengambil bungkusan korban dan akikah sebaliknya agihan akan diaturkan serta diedarkan oleh pihak jawatankuasa berkenaan kepada penerima,” katanya.
JAIPk juga akan mengeluarkan garis panduan terperinci prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban dan akikah di Perak dalam Facebook jabatan berkenaan.