MEKAH: Kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan fasa seterusnya dalam menyusun senarai nama pemohon yang layak menunaikan haji tahun ini.
Arab News memetik kenyataan Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr. Abdulfattah Sulaiman Mashat sebagai berkata, fasa itu yang bermula semalam dibahagikan kepda beberapa kategori.
Menurutnya, katefori pertama, mereka yang memenuhi syarat untuk menunaikan haji telah menerima pesanan teks untuk mengakses portal elektronik kementerian dan menyelesaikan proses pendaftaran.
“Pesanan teks itu dianggap sebagai persetujuan akhir hanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
Jelas beliau, pihak kementerian juga telah mempermudahkan langkah-langkah pendaftaran untuk mengeluarkan permit haji.
“Ini termasuk log masuk ke portal elektronik, mengesahkan data pemohon dan memilih pakej yang tersedia,” katanya.
Disebabkan penularan Covid-19 yang masih belum reda, Arab Saudi hanya menetapkan kuota 60,000 jemaah haji, terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing yang menetap di negara ini.