ALOR SETAR: Seorang guru wanita kerugian RM63,440 akibat diperdaya sindiket ‘Love Scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Instagram sejak April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa dari Sik dekat sini mula berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Muhammed Zamzuree berasal dari United Kingdom.
“Mangsa yang telah bercerai seterusnya berhubung dengan suspek menggunakan aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian memaklumkan ada mengirimkan barang kepadanya seperti beg tangan, kasut, jam tangan, satu set perhiasan dan telefon bimbit.
“Selepas itu mangsa dihubungi seorang individu yang mengaku sebagai Pegawai Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Mangsa seterusnya diminta membuat bayaran cukai dan denda bagi mendapatkan barangan tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, atas dasar kepercayaan yang melampau, mangsa telah membuat pemindahan wang simpanannya secara dalam talian ke satu akaun diberikan suspek sebanyak tujuh kali pada bulan lalu.
“Mangsa mula menceritakan perkara sebenar kepada adiknya apabila mula menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Kuala Nerang pada Isnin lalu,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan Love Scam.
“Jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu orang yang hanya dikenali di laman sosial dan dengan mudahnya membuat pemindahan wang tanpa usul periksa,” ujarnya. – UTUSAN