MUNICH: Pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan mengakui keyakinannya semakin bertambah dengan kehadiran rakan sepasukannya, Kai Havertz dari Chelsea sebaik pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara dengan menundukkan Manchester City.
Gundogan berkata, meskipun Harvetz bermula perlahan bersama The Blues namun kejuaraan Liga Juara-Juara yang diraih secara tidak langsung memberikannya keyakinan untuk beraksi di Euro 2020.
“Liga Juara-Juara memberikan keyakinan kepada pemain-pemain terutamanya Kai yang meledak gol kemenangan dalam perlawanan itu dan saya sangat gembira untuk Kai kerana dia layak menang,” kata Gundogan.
Walaupun City menjadi pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara, namun Gundongan terpaksa menerima kekalahan kepada Chelsea dan mengakui ia sangat perit terutama selepas sekian lama menanti untuk ke pentas final.
“Sukar untuk diterima kekalahan seperti itu di final Liga Juara-Juara. Kami bekerja keras selama lapan tahun dan saya kalah di pentas final sekali lagi dan ia sangat mengecewakan.
“Sekarang ini adalah masa untuk fokus kepada aksi Euro dan saya sudah tidak sabar untuk memulakan kempen bersama Die Mannschaft.
“Kami diundi dalam kumpulan maut bersama Perancis, Portugal dan Hugary tetapi kami percaya, pasukan ini sudah bersedia,” kata pemain berusia 30 tahun itu.-AGENSI