TASEK GELUGOR: Taktik licik satu sindiket pengedaran rokok seludup menggunakan lori sejuk beku dan diisytihar membawa barangan perkhidmatan perlu iaitu peruncitan gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas ditumpaskan polis semalam.
Sindiket itu dilumpuhkan menerusi Op Kontraban oleh Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman yang menyerbu dua buah gudang di sini kira-kira pukul 6 pagi.
Dalam serbuan itu, pelbagai jenis rokok seludup bernilai kira-kira RM14 juta dirampas manakala lima individu berusia 36 hingga 63 tahun turut ditahan.
Ketika ditahan, sebahagian daripada suspek dipercayai sedang memunggah kotak-kotak rokok berkenaan ke dalam beberapa buah lori termasuk sebuah lori barang makanan sejuk beku.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya merampas kira-kira 18.5 juta batang rokok putih tidak bercukai bernilai RM13.9 juta.
“Kelima-lima mereka yang ditahan dipercayai pekerja manakala dalang sindiket masih dikesan.
“Selain itu, sebanyak empat buah lori yang berisi kotak-kotak rokok, dua buah kereta dan wang tunai RM2,200 yang keseluruhannya bernilai RM14.2 juta turut dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket sama di kawasan Pantai Barat dan Kuala Lumpur.
Jelasnya, sindiket itu dipercayai sedang memperluaskan kawasan penyeludupan termasuk sehingga ke Pantai Timur dan Selatan manakala rokok seludup itu dipercayai dibawa ke negara ini menggunakan jalan laut sebelum ditempatkan di dalam gudang kosong.
“Bagaimanapun kita masih menyiasat kaitan lori-lori milik sebuah syarikat yang digunakan oleh sindiket ini,” katanya.
Sementara itu Zainal Abidin berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Caption:
ZAINAL Abidin Kasim menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dari satu sindiket di sebuah gudang di Kepala Batas, Pulau Pinang.