Graduan perubatan boleh pilih penempatan latihan siswazah mulai hari ini - Utusan Malaysia

Graduan perubatan boleh pilih penempatan latihan siswazah mulai hari ini

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Satu notifikasi emel dikeluarkan kepada 267 siswazah perubatan bagi membolehkan mereka mendaftar dalam sistem e-Housemen seterusnya membuat pemilihan penempatan latihan siswazah mulai hari ini.

Ia susulan pengeluaran Sijil Pendaftaran Sementara kepada graduan perubatan terlibat selepas perkara itu dirujuk Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bagi mendapatkan pandangan perundangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, notifikasi emel kepada graduan perubatan berkenaan dikeluarkan semalam bagi membolehkan mereka mendaftar dalam sistem e-Housemen.

“Mereka seterusnya boleh membuat pemilihan penempatan latihan siswazah pada hari ini.

“Mana-mana graduan daripada sejumlah 267 orang graduan perubatan tersebut yang belum menerima notifikasi emel, boleh memaklumkan segera kepada urus setia menerusi alamat e-mel [email protected]. untuk dibantu sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adham berkata, Kementerian Kesihatan mengambil maklum penempatan graduan perubatan ditangguhkan ketika ini bagi memberi ruang kepada MPM menyelesaikan beberapa isu berkaitan.

Beliau menjelaskan, penangguhan dibuat bagi memberi ruang kepada MPM menyelesaikan isu keperluan pewartaan semula nama kelayakan dan atau nama  universiti yang didapati berbeza mengikut Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Beliau berkata, jumlah universiti yang terlibat adalah 36 buah yang mana isu itu telah menjejaskan sejumlah 267 orang graduan perubatan yang telah mendaftar dan melepasi tapisan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Perbezaan ini menyebabkan MPM tidak dapat mengeluarkan Sijil Pendaftaran Sementara hingga perkara ini diselesaikan,” katanya.

Sebelum ini, penempatan latihan siswazah bagi graduan perubatan terpaksa ditangguhkan buat  sementara waktu biarpun mereka sudah diberi Surat Layak Daftar oleh MPM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN