COPENHAGEN: Alvaro Morata mendedikasikan golnya pada masa tambahan selepas membantu Sepanyol mara ke suku akhir Euro 2020 menerusi kemenangan 5-3 ke atas Croatia kepada keluarganya susulan ugutan dan penghinaan yang mereka terima sejak beberapa hari lalu.
Morata menjaringkan gol pada minit ke-100 dalam aksi pusingan 16 terbaik itu yang menyaksikan Croatia bangkit selepas ketinggalan 3-1 dengan menyamakan kedudukan 3-3 ketika berbaki lima minit sebelum perlawanan berakhir sekali gus kedua-dua pasukan terpaksa bermain 30 minit lagi.
Mikel Oyarzabal memastikan kemenangan Sepanyol dengan meledak gol kelima buat pasukan bagi mematikan kebangkitan yang ditunjukkan Croatia.
Ia adalah kemenangan pertama skuad bimbingan Luis Enrique dalam pusingan kalah mati sejak 2012.
Morata sebelum ini mendedahkan keluarganya menerima mesej ugutan daripada peminat selepas terlepas peluang menjaringkan gol dalam perlawanan di Seville yang menyaksikan Enrique menggesa polis untuk menjalankan siasatan.
“Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kita dapat melihat perkara yang tidak menyebelahi saya tetapi majoriti penyokong Sepanyol masih memberi sokongan.
“Gol ini adalah untuk isteri, anak saya, keluarga dan semua yang memberi sokongan kepada saya. Anda perlu mengharungi saat-saat sukar untuk menikmati detik yang istimewa,” kata Morata.
Enrique tetap mempertaruhkan kepercayaan kepada Morata dalam semua empat perlawanan Euro kali ini dan memuji kelebihan yang dimiliki pemain berusia 28 tahun itu.
“Saya tidak fikir ada jurulatih di dunia ini yang tidak menghargai pemain seperti Morata. Dia mampu memberikan impak kepada pasukan, dia bertahan seperti pertahanan tengah, dia mendominasi bola di udara, dia menjaringkan gol, dia kuat.
“Kami bertuah memiliki Morata dalam pasukan kebangsaan,” ujarnya. – AGENSI