KLANG: Walaupun pandemik Covid-19 masih belum reda, Pusat Borong GM Klang akan tetap menyemarakkan ulang tahunnya yang ke-12 dengan cara tersendiri sebagai penghargaan kepada pelanggan setia.
Menurut Pengurus Komunikasi Korporat & Perhubungan Awam GM Klang, Norsuhaida Othman, sempena ulang tahun tersebut pada 1 Oktober depan, GM Klang akan mengadakan Kempen Road To Bonanza 12.
“Apa yang lebih istimewa, kempen ulang tahun kali ini mendapat sokongan daripada Tourism Selangor menerusi tawaran hadiah bulanan yang berupa pakej pelancongan tempatan bernilai RM2,000.
“Ini adalah salah satu inisiatif pusat borong terbabit untuk membantu industri pelancongan Selangor sekali gus menyokong kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ yang dianjurkan oleh Tourism Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norsuhaida berkata, kempen tersebut menggalakkan penggunaan aplikasi e-wallet sebagai salah satu medium pembayaran utama di GM Klang seiring dengan seruan Kerajaan pada waktu pandemik ini.
Katanya lagi, walaupun negara sedang berhadapan dengan Total Lockdown 3.0 fasa pertama, situasi tersebut tidak menjadi halangan buat para pelanggan untuk menyertai kempen kali ini.
“Ini disebabkan GM Klang masih beroperasi walaupun tidak sepenuhnya kerana kedai-kedai yang menyediakan barangan yang diperlukan (essential) yang dibenarkan beroperasi akan dibuka seperti biasa,” katanya.
Jelasnya lagi, kempen yang bermula 1 Jun hingga 31 Disember tahun ini amat mudah untuk disertai di mana para pelanggan hanya perlu berbelanja RM100 ke atas di mana-mana kedai di GM Klang menggunakan aplikasi e-wallet.
Seterusnya, imbas kod QR yang disediakan serta kongsi ‘artwork’ kempen menerusi laman media sosial mereka sendiri.
Dua pemenang bertuah pada setiap bulan berpeluang memenangi pakej pelancongan bernilai RM2,000 manakala 10 nama pelanggan akan diumumkan pada setiap bulan di sepanjang kempen berlangsung untuk cabutan bertuah memenangi hadiah utama sebuah motosikal berjenama. – UTUSAN