PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bakal tampil dengan wajah baharu setelah tiga tonggak mereka Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh tidak dapat diturunkan dalam aksi menentang Thailand, Rabu ini.
Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, beliau dan barisan kejurulatihan akan membincangkan perkara tersebut bagi memilih kesebelasan utama untuk menentang Gajah Perang dalam usaha merebut peluang ke Piala Asia 2023.
“Kami perlu bersedia untuk melakukan yang terbaik untuk berdepan Thailand kerana mereka memiliki ramai pemain bagus. Kami akan bincangkankan untuk pilih kesebelasan terbaik memandangkan ada posisi yang terjejas.
“Ketiadaan Corbin memang akan menjejaskan pertahanan Malaysia kerana tiada bek kiri yang boleh diketengahkan. Bagaimanapun saya yakin pemain yang kami bawa ini inginkan peluang beraksi.
“Harap mereka dapat fokus dan bagi tumpuan untuk aksi menentang Thailand nanti,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, semalam.
Bagi posisi Corbin di bek kiri, slot tersebut mungkin diisi Syahmi Safari atau Adam Nor Azlin, manakala Arif Aiman Hanapi boleh mengisi tempat Sumareh.
Kedudukan Syamer pula mungkin boleh memasukkan Brendan Gan untuk posisi tengah bertahan, dengan Nazmi Faiz Mansor akan mengisi bahagian tengah menyerang.