Gara-gara lilin, empat beranak tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

Gara-gara lilin, empat beranak tinggal sehelai sepinggang

MUHAMMAD Amin Abdul Ghani (dua dari kanan) yang kehilangan rumah akibat kebakaran menerima kunjungan K. Raven Kumar (kanan) dan Mohd. Youzaimi Yusof (dua dari kiri) di Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Sebuah keluarga di Kampung Pengkalan Batu di sini tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Amin Abdul Ghani, 74, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri Khadijah Sakiran, 56, dan dua orang anak mereka berada di dalam rumah dan sedang bersedia untuk berbuka puasa.

Katanya, dia mula menyedari kebakaran bermula dari salah sebuah bilik selepas melihat asap berkepul-kepul.

“Kami ada pasang lilin sebab bekalan elektrik terputus. Mungkin disebabkan angin kuat jadi api lilin menyambar kain yang ada di bilik lalu menyebabkan kebakaran.

“Kami memang tidak sempat untuk berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat apabila terkena tilam. Kami cuba untuk memadamkan api tetapi tidak mampu dan terus keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Amin menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K. Raven Kumar di kediamannya itu untuk bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai.

Dalam lawatan sama, Muhammad Amin turut menerima sumbangan daripada Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Sementara itu, jelas Muhammad Amin, dia kini tinggal sementara waktu di rumah anaknya dan dianggarkan kerugian yang ditanggung akibat kebakaran itu mencecah kira-kira RM300,000.

Katanya, selain rumah, dua buah kereta iaitu Perodua Kancil dan juga sebuah Toyota Hilux yang baru dibeli dua bulan lalu untuk kegunaan di kebun turut musnah.

Dalam pada itu, Raven Kumar berkata, pihaknya akan cuba membantu keluarga berkenaan mendapatkan bantuan lain antaranya daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) atau mana-mana agensi berkaitan.

Pada masa sama, beliau menyarankan masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar agar lebih cakna tentang pengambilan insurans kediaman kerana langkah itu dapat menampung pencarum sekiranya berdepan malapetaka tidak dijangka seperti itu.

”Kita akan cuba tengok bantuan apa yang boleh dibantu, namun untuk membina semula rumah secantik seperti yang sebelum ini agak susah. Oleh itu saya nasihat kepada masyarakat agar ambil insurans untuk kediaman kerana kita tidak tahu bila malapetaka akan berlaku.

“Walaupun di kawasan kampung tetapi cuba juga ambil kerana saya dapati ramai penduduk di Mersing yang bekerja ladang dan guna duit pencen bina rumah tetapi tiada insurans, sekiranya ada insurans sekurang-kurang lega sikit bila berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya