KEMAMAN: Seramai 151 peserta rancangan tanah berkelompok (RTB) di Kampung Ban Ho, Cherul di sini resah selepas kebun pisang dan nanas mereka diceroboh sekumpulan gajah liar sejak hampir sebulan lalu.
Dalam serangan terbaharu haiwan itu dua minggu lalu, lapan daripada mereka terpaksa berputih mata kerana tanaman yang sudah matang musnah sekelip mata.
Seorang peserta, Tengku Mohamad Tengku Chik, 70, berkata, dia menanggung kerugian lebih RM40,000 selepas 900 pokok pisang yang diusahakan di kawasan seluas empat hektar itu diserang gajah liar dari hutan berdekatan.
Lebih malang, katanya, hampir 50 peratus tanaman nanasnya turut dipijak gajah.
“Serangan gajah sudah bermula sejak akhir Mei lalu, tetapi kali ini sangat memberi kesan dan saya sedih kerana hasil titik peluh musnah begitu sahaja.
“Saya buntu sebab kekurangan modal untuk menanam semula sebab berharap dapat meraih hasil daripada buah yang sudah matang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan dengan menghalau gajah-gajah berkenaan.
“Bagaimanapun, kita akan terus membuat pemantauan dan kawalan bagi memastikan keselamatan pekebun dan penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE