NICE, Perancis: Karim Benzema gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam penampilan pertama bersama Perancis selepas enam tahun, namun prestasinya tetap menyinar ketika membantu skuad Les Bleus menumpaskan Wales 3-0 dalam aksi pemanas badan menjelang Euro 2020 pagi tadi.
Penyerang Real Madrid itu disisihkan oleh pengendali skuad kebangsaan, Didier Deschamps sejak Oktober 2015 selepas terlibat dalam kontroversi memeras ugut rakan sepasukan dalam skandal video seks.
Kylian Mbappe, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele meledak gol dalam aksi persahabatan antara juara Piala Dunia itu menentang pasukan empat terbaik Euro 2016, Wales.
“Saya rasa bagus sepanjang perlawanan dan ia petanda baik untuk apa yang bakal berlaku.
“Kunci utama ialah mencipta peluang, menang dan melakukan lebih baik lagi untuk menjaringkan gol.
“Saya bangga menyarung jersi ini sekali lagi dan mahu terus bermain, membuktikan apa yang mampu saya lakukan di atas padang,” kata pemain berusia 33 tahun itu.
Deschamps turut memberikan lilitan kapten kepada penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris yang membuat penampilan ke-100 dalam kesebelasan utama Perancis.
Bintang tengah, N’Golo Kante direhatkan selepas memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea, Sabtu lalu.
Perancis akan berdepan Bulgaria dalam aksi persahabatan kedua, Selasa ini sebelum memulakan kempen Kumpulan F, Euro 2020 menentang gergasi Eropah, Jerman di Munich pada 15 Jun.
Wales yang diketuai Gareth Bale akan melayani kunjungan Albania pada Sabtu sebelum berangkat ke Baku berdepan Switzerland,12 Jun. – AGENSI