KLANG: Sebanyak 26 buah premis di daerah ini diarahkan tutup selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr. Ahmad Fadzly Ahmad Tajuddin berkata, sejak Januari lalu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 2,519 premis termasuk perniagaan, perindustrian dan pembuatan.
“Pemeriksaan mendapati masih terdapat premis yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya gagal mematuhi waktu premis dan menyediakan kod QR aplikasi Mysejahtera serta buku pendaftaran kehadiran pelanggan.
“Pemeriksaan ini dijalankan bagi mencegah dan mengawal penularan Covid-19 di daerah ini. Penutupan premis dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi Pasar Pagi di Jalan Selampit di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzly berkata, sepanjang pemeriksaan itu juga, pihaknya telah mengeluarkan 260 notis, 186 sitaan dan 16 kompaun bagi tempoh yang sama.
“Sepanjang operasi hari ini, sebanyak dua kompaun dikenakan masing-masing kepada penjual kuih dan peniaga restoran nasi ayam kerana berniaga di waktu tidak dibenarkan semasa tempoh PKP.
“Dua tindakan sitaan juga dilaksanakan mengikut Seksyen 46(1)d Akta Jalan Parit Bangunan 1974 meletakkan barang tres perniagaan di kaki lima premis menyebabkan halangan,” katanya.