PUTRAJAYA: Kepimpinan tertinggi tiga parti politik utama Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa mencari penyelesaian apa juga isu yang menghalang kesepakatan mereka untuk bersama sebagai satu pasukan kuat mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden Jaringan NGO Sedar (Sedar), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, berdasarkan keputusan PRU-14, jika tiga parti politik Melayu Islam itu menyertai PRU-15 sebagai satu pasukan, peluang amat cerah untuk memenangi 100 peratus kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu di seluruh negara.
Menurut beliau yang juga Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam (Qiam), jika antara ketiga-tiga parti itu bertembung sesama sendiri, undi Melayu akan berpecah dan sukar untuk satu parti berdiri sendiri menang, sekali gus perpecahan undi Melayu akan membantu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH).
“Sebagai parti pemerintah (incumbent), tujuan memanggil pilihan raya adalah untuk mendapat mandat baharu yang lebih besar. Apa gunanya memanggil pilihan raya jika kuasa dan kerajaan jatuh ke tangan pihak lawan?
“Dalam konteks ini, peluang kemenangan besar amat cerah jika tiga parti politik tersebut berdepan pengundi dalam satu pasukan sama. Untuk itu, UMNO, Pas dan Bersatu wajib berkorban ego dan berjiwa besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata, hakikatnya semua masalah dalam permainan politik ada penyelesaiannya, apatah lagi tiga parti politik Melayu Islam itu melaungkan slogan perjuangan politik yang serupa iaitu berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air (Abata).
Justeru katanya, janganlah meletak kepentingan parti dan peribadi mengatasi kepentingan Abata kerana perkara itu penting demi masa depan anak cucu bangsa Melayu di bumi ini.
Dalam hal itu kata beliau, PRU-15 dapat menyediakan peluang keemasan untuk tiga parti politik Melayu Islam, bersama parti lain dalam Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta parti-parti rakan dari Sabah dan Sarawak untuk menzahirkan sebuah kerajaan yang menguasai dua pertiga Parlimen.
“Hanya Pas dengan Bersatu (PN) tanpa UMNO (BN) dianggap belum meyakinkan untuk kerajaan PN terus bertahan mengekalkan kuasa. Begitu juga dari sudut UMNO, rakyat melihat parti politik terbesar orang Melayu itu sedang bergelut dengan krisis kepimpinan yang memerlukan penyelesaian segera.
“Ini menjadikan pengundi kurang yakin terhadap parti tersebut secara bersendirian dalam PRU-15. Ini melemahkan peluang UMNO memperoleh kemenangan lebih besar daripada 59 kerusi yang dimenangi dalam PRU-14,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang juga merupakan Timbalan Presiden Sedar dan Qiam melihat rata-rata orang Melayu pantang memberi undi kepada UMNO jika parti itu mahu bersekongkol dengan DAP.
Katanya, pengalaman 22 bulan di bawah PH yang diterajui DAP memberi kesedaran mendalam kepada Melayu.
“Justeru kita bertegas tidak akan menyokong UMNO jika parti itu menjalinkan kerjasama dengan DAP. Mengapa perlu berbaik dengan DAP jika dua parti Melayu Islam, Pas dan Bersatu, sedia untuk bekerjasama?
“Bersesuaian dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya kemelut politik perlu diredakan kerana negara perlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, kesepakatan UMNO, Pas dan Bersatu adalah selari dengan maksud titah tersebut demi kestabilan politik.
“Sebuah kerajaan Pemerintahan Dominan Pribumi (PDP) hanya dapat dizahirkan selepas PRU-15 jika tiga parti besar Melayu Islam tersebut berpakat untuk menang besar sebagai satu pasukan yang kuat.
“Sebuah kerajaan PDP yang kuat akan dihormati kaum lain di negara ini. Ini sahajalah formula terbaik bagi menjamin semua kepentingan Abata seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terjaga dan dihormati selamanya,” katanya.