Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia kembali - Utusan Malaysia

Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) kini bersedia untuk membawa kembali kemeriahan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) menerusi sebuah pengalaman baharu secara maya istimewa buat semua pencinta muzik alam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LPS, Sharzede Datu Haji Salleh Askor, pihaknya berbangga kerana berpeluang membawakan RWMF yang amat dinanti-nantikan secara maya, sekali gus menyediakan pentas untuk mengetengahkan bakat muzik asli tempatan selain membolehkan mereka berkongsi muzik dan lagu dengan penonton di seluruh dunia.

“Tahun lepas amat mencabar bagi ramai rakyat Malaysia. Dengan penjarakan sosial menjadi lumrah hidup sekarang, kami percaya muzik adalah antara medium nadi yang dapat menghubungkan kita semua.

“Kami berharap RWMF akan memberi peluang kepada semua untuk menyanyi dan menikmati muzik bersama, walaupun kita masih berjauhan.

“Selain itu, acara maya ini juga ialah pembuka tirai RWMF 2022 yang ingin kami anjurkan secara fizikal. Tentunya kami tidak sabar-sabar untuk menerima kedatangan penonton, pengunjung dari negara lain dan peminat RWMF pada 2022.”katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

RWMF 2021 akan diadakan selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Jun 2021 dari jam 6 petang hingga 7.30 malam menerusi laman rasmi RWMF.

Festival ini akan menggabungkan persembahan RWMF terdahulu termasuk sesi pertunjukan barisan penghibur tempatan yang dirakamkan lebih awal.

Sorotan utama acara ialah persembahan oleh bakat-bakat dari Sarawak, iaitu Alena Murang, Kemada, Sang Rawi, At Adau, Tuku Kame, Suk Binie’, Nading Rhapsody dan Mathew Ngau dan juga imbasan persembahan muzik kegemaran ramai daripada tahun-tahun lepas.

Untuk pengalaman yang lebih menarik, para penonton boleh memesan makanan kegemaran dan menjamu selera di rumah menerusi Grab, platform penghantaran makanan rasmi RWMF.

Penonton juga boleh memesan cenderahati edisi terhad seperti kemeja-T dan pelitup muka kain untuk meraikan pengalaman maya RWMF pertama mereka menerusi Shopee, platform e-dagang rasmi RWMF.

Shopee juga akan menyiarkan RWMF 2021 di salurannya yang tersendiri iaitu, Shopee Live.

Semasa disiarkan dalam talian, penonton berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, beg berisi cenderahati, baucar diskaun untuk hotel dan banyak lagi.

Acara maya ini juga boleh ditonton di TVS, stesen TV Sarawak khusus di Astro Saluran 122 dan rakan penyiaran rasmi RWMF.

Untuk maklumat lanjut RWMF 2021, layari laman web rasmi dan daftar di laman sesawang https://rwmf.net/.untuk menikmati pengalaman maya menarik ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya