GEORGETOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan menyerahkan lima feri ikonik Pulau Pinang kepada syarikat berkelayakan untuk diubah suai pada 1 Julai ini.
Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, dua feri ikonik itu akan diubah suai masing-masing dijadikan feri pelancongan dan restoran terapung manakala sebuah lagi sebagai muzium terapung.
Menurut beliau, SPPP menerima banyak cadangan daripada syarikat berkelayakan untuk mengubah suai feri ikonik itu sebaik sahaja permintaan untuk cadangan (RFP) mengenainya dibuka bermula 29 Januari hingga 18 Mac lalu.
“Setelah dinilai oleh beberapa jawatankuasa SPPP, Mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan ini meluluskan syarikat yang berkelayakan untuk mengubah suai dan mengendali lima feri ikonik.
“SPPP dan syarikat yang berjaya akan menandatangani kontrak untuk tempoh 10 tahun dengan pilihan disambung selama lima tahun lagi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Teik Cheng, disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SPPP menubuhkan satu pasukan khas bagi membantu syarikat-syarikat yang berkelayakan dalam projek itu.
Jelas beliau, sekiranya PKP disambung, pihaknya akan mengadakan majlis penyerahan feri-feri kepada syarikat yang layak secara dalam talian.
Tambah beliau, syarikat-syarikat yang berkelayakan itu diberi tempoh antara tiga hingga enam bulan untuk memperbaiki dan mengubah suai feri-feri ikonik tersebut sebelum beroperasi.
“Misi utama SPPP ketika ini adalah untuk memastikan lima feri ikonik ini terus muncul di perairan Pulau Pinang.
“Kita percaya feri-feri ini akan menjadi produk pelancongan yang penting dan tempat percutian menarik di Pulau Pinang dan akan mendorong sektor pelancongan serta merangsang ekonomi negeri ini,” katanya.