Feri ikonik Pulau Pinang diapungkan - Utusan Malaysia

Feri ikonik Pulau Pinang diapungkan

KEADAAN feri ikonik Pulau Pinang yang hampir karam kerana dimasuki air di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang. - UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Feri ikonik Pulau Pinang yang dilaporkan hampir karam kerana dimasuki air di Limbungan Bagan Dalam di sini akan diapungkan semula.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, kerja-kerja mengepam keluar air yang bertakung di dalam feri itu dijalankan bermula pukul 4 petang hari ini.

Menurut beliau, kerja-kerja mengepam keluar air itu akan dilakukan ketika paras air laut surut sebelum lubang kebocoran pada feri berkenaan diperbaiki bagi membolehkannya kembali terapung.

“Tidak ada cara lain untuk menaikkan feri itu ke darat dalam masa singkat, maka mengepam air keluar dari feri adalah satu-satunya kaedah terbaik yang dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas Teik Cheng, Feri Pulau Pinang itu sudah uzur dengan bahagian enjinnya tidak lagi dapat diperbaiki dan kali terakhir beroperasi adalah pada 27 November 2019.

TAN Teik Cheng (kiri) mendengar penerangan mengenai usaha mengapungkan semula feri ikonik Pulau Pinang yang dilaporkan hampir karam kerana dimasuki air di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang. – UTUSAN/FIRDAUS AMRAN

Sehubungan itu katanya, keadaan feri tersebut tidak menjejaskan operasi bot laju atau feri semasa yang membawa basikal dan motosikal ketika ini.

“SPPP memutuskan untuk menempatkan Feri Pulau Pinang itu di Limbungan Bagan Dalam kerana air di situ yang cetek dan tidak akan menyebabkan feri tersebut hanyut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan jelas beliau, SPPP telah menerima banyak permohonan daripada syarikat susulan tender yang dibuka bagi menukar lima feri ikonik sedia ada sebagai feri pelancong, restoran dan muzium terapung.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan kekangan waktu, namun kita masih mendapat calon-calon yang sesuai.

“Dua feri telah mendapat pembida yang memenuhi syarat manakala tiga feri lagi juga sudah ada pemohon yang sesuai,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan kesemua lima buah feri ikonik itu akan diserahkan kepada pembida yang berjaya bulan depan sebelum kontrak pemajuan dalam tempoh 15 tahun ditandatangani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya