TANGKAK: Kerajaan masih mempunyai beberapa hari untuk memutuskan sama ada peralihan ke fasa seterusnya boleh dilakukan atau sebaliknya berdasarkan beberapa faktor termasuk situasi semasa Covid-19 dalam negara serta intervensi yang bersesuaian.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, situasi sebenar sentiasa berubah-ubah meskipun kerajaan telah menentukan sasaran seperti tarikh, tempoh, kadar dan jumlah kes serta proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU).
“Kita ada beberapa hari lagi. Ya, kalau sekiranya kadar (kes positif) boleh turun lagi, bermakna ikut jadual yang kita harapkan, maka kita akan beralih ke fasa kedua.
“Jadi disebabkan itu, kita tidak akan buat pengumuman sekarang. Biasanya kita akan bagi ruang dua tiga hari lagi, sama ada kita nak sambung atau kita akan beralih (ke fasa seterusnya),” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor Bukit Gambir, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan mengenai perancangan untuk beralih ke fasa seterusnya memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tamat pada 28 Jun ini hanya tinggal beberapa hari dengan kadar kes masih melebihi 4,000 kes.
“Perkara itu (Pelan Pemulihan Negara) kita panggil nilai ambang atau threshold, tetapi kita kena faham keadaan boleh berubah-ubah, sebab itu kita boleh buat sedikit adjustment.
“(Maka) ini nanti akan diputuskan pada sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan untuk nilai keadaan,” kata Muhyiddin.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi Kementerian Kesihatan dan seluruh sistem yang ada bagi memastikan kaedah intervensi yang boleh dilakukan.
“Misal kata data itu masih tinggi, kita nak turunkan bawah 4,000 kes, hari ni 4,743 kes..jadi tak jauh dari sasaran. Apapun kita nak tengok apa intervensi yang pihak Kementerian Kesihatan dan semua sistem yang ada.
“(Kita) nak tengok keadaan itu, tetapi itu sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan masyarakat untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk pastikan mereka ikut, bukan sahaja anggota masyarakat tetapi juga kilang serta ahli komuniti dan sebagainya,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin turut menekankan kepentingan proses vaksinasi untuk dipercepat agar keadaan lebih terkawal dan proses penurunan kes positif akan lebih cepat. – UTUSAN ONLINE