LONDON: England lolos ke peringkat suku akhir Euro 2020 dengan rekod belum dibolosi selepas mengatasi Jerman 2-0 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Wembley, sebentar tadi.
Dua jaringan menerusi Raheem Sterling dan Harry Kane masing-masing pada minit ke-75 dan 86 sudah cukup untuk skuad Three Lions menempah pertemuan sama ada dengan Sweden atau Ukraine yang akan bertembung sebentar lagi.
Terdahulu, kedua-dua pasukan kebuntuan gol pada babak pertama dengan Sterling, Kane dan Harry Maguire berpeluang meletakkan skuad bimbingan Gareth Southgate di depan.
Juara dunia 2014, Jerman turut berpeluang membuka jaringan, namun tendangan kaki kiri Timo Werner berjaya dinafikan penjaga gol England, Jordan Pickford.
Selepas Sterling memecah kesunyian, Thomas Muller mensia-siakan peluang untuk mengikat kedudukan, sebelum Kane melengkapkan kemenangan England, yang belum pernah menjuarai kejohanan tersebut.
Ini kali pertama England berjaya mengalahkan Die Manschafft dalam kejohanan besar sejak 1966.
Dengan kemenangan tersebut juga, maka tamat sudah riwayat kumpulan maut yang melibatkan Perancis, Portugal dan Jerman selain Hungary dalam saingan Euro kali ini.- AGENSI